(Para Sahabat Bertabarruk Dengan Segalanya Yang Berkaitan Rasulullah SAW)
"Tabarruk" ialah sebuah konsep mencerap tenaga positif dari tinggalan dan kesan para Nabi dan orang soleh. Kecintaan para sahabat terhadap Rasulullah sehingga apa sahaja yang keluar dari diri Rasulullah akan digunakan untuk tujuan ini meskipun mereka tidak pernah diberitahu Rasulullah mengenai fadhilat sesuatu tabarruk itu.
Mengambil berkat daripada kesan Nabi itu tiada beza antara semasa hidup ataupun selepas baginda wafat. Kerana para sahabat di zaman hidup Rasulullah SAW mengambil berkat dengan air basuhan wuduk baginda, ataupun air peluh dan juga air ludah serta rambut baginda. Kesan-kesan itu sama sahaja selepas wafatnya, semuanya bukanlah suatu yang hidup dan keadaannya sama semasa hayat baginda.
Ini adalah kerana menurut aqidah sunnah wal jamaah, yang memberi kesan secara hakiki ialah Allah bukan tertakluk kepada hidup atau matinya seseorang. Tabarruk hanyalah suatu ikhtiar diatas asbab dan sarana, seseorang yang mengatakan ia hanya untuk ketika hidup sahaja, maka dia berada dalam bahaya menghadapi aqidah yang terpesong kerana menggantungkan keberkesanan itu kepada hidup mati seseorang.
Daripada 'Amir ibn Abdullah ibn Zubair mengisahkan ayahnya pernah menceritakan kepadanya bahawa dia pernah datang kepada Nabi ketika baginda sedang dibekam.
Setelah selesai dibekam, Baginda SAW bersabda: "Wahai Abdullah (ibn Zubair)! Pergilah kamu dengan membawa darah ini dan buanglah ia di tempat yang tidak seorang pun dapat melihat kamu."
Setelah meninggalkan Rasulullah SAW, dia mengambil darah itu, lalu meminumnya. Apabila kembali semula, Rasulullah SAW bertanya: "Apakah yang telah kamu lakukan dengan darah itu?" Dia menjawab: "Aku telah sorokkannya di tempat yang sangat tersorok, yang aku tahu ia sememangnya tersembunyi daripada orang ramai."
Baginda SAW bersabda: "Boleh jadi engkau telah meminumnya?" Dia menjawab: "Ya".
Nabi SAW bersabda: "Kenapa kamu minum darah itu? Celakalah manusia daripada kamu dan terselamatlah kamu daripada manusia." (riwayat Al-Hakim, al-Bazzar, Al-Isobah dan oleh Al-Haithami dalam Majma')
Abu Musa mengatakan bahawa Abu 'Asim berkata: "Mereka (para sahabat) berpendapat bahawa kekuatan yang terdapat pada Abdullah ibn Zubair itu disebabkan keberkatan darah tersebut."
Dalam riwayat Imam al Dar Qutni daripada hadis Asma' binti Abu Bakar juga seperti itu. Dalam hadis tersebut dinyatakan: "Dan kamu tidak akan disentuh api neraka".
Dalam kitab al Jauhar al-Maknun fi Zikr al-Qaba'il wa al-Butun disebutkan, bahawa setelah Abdullah ibn Zubair meminum darah Rasulullah SAW, meruap bau wangi kasturi daripada mulut Ibnu Zubair dan bau itu kekal di mulutnya sehingga dia disalib (syahid). (Dalam Al-Mawahib, al-Qustullani, 1:284)
Imam Tabrani meriwayatkan daripada Safinah r.a katanya: Suatu ketika, Nabi Muhammad SAW berbekam. Setelah itu, baginda bersabda: "Ambillah darah ini dan tanamlah ia daripada (dilihat) oleh binatang, burung dan manusia". Lalu, aku pun menyembunyikannya dan meminumnya. Kemudian, aku memberitahu hal itu kepada Rasulullah SAW, maka baginda pun ketawa. (Al-Haitami dalam Majma' mengatakan bahawa rijal Al-Tabrani adalah thiqah. 8:270)
Dalam Sunan Sa'id ibn Mansur melalui jalan 'Amru ibn Sa'ib disebut: "Telah sampai berita kepadanya bahawa Malik ibn Sinan r.a, bapa Abu Sa'id al Khudri, tatkala muka Nabi Muhammad SAW luka dalam peperangan Uhud, dia menghisap darah baginda SAW sampai bersih dan nampak putih bekas lukanya."
Nabi SAW bersabda: "Muntahkan darah itu!" Malik r.a menjawab: "Aku tidak akan memuntahkannya selama-lamanya." Bahkan, dia menelannya.
Nabi SAW bersabda: "Barang siapa ingin melihat seorang dari ahli syurga, maka lihatlah kepada orang ini." Ternyata, dia gugur syahid dalam peperangan Uhud.
Imam Tabrani juga meriwayatkan hadis seperti itu. Antara lain, disebutkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang mencampurkan darahku dengan darahnya, nescaya tidak akan disentuh api neraka". (Al-Haithami mengukuhkan hadis ini dalam Majma'nya, 8:270)
Ibnu Hibban meriwayatkan dalam al-Dhu'afa', daripada Ibnu Abbas beliau berkata: "Nabi SAW pernah dibekam oleh seorang pemuda dari bangsa Quraisy. Setelah selesai dibekam, dia mengambil darah baginda SAW lalu membawanya ke balik dinding. Dia menoleh ke kanan dan ke kiri, tiada seorang pun yang kelihatan. Lalu dia menghisap darah itu hingga habis. Kemudian dia menghadap Nabi SAW."
Baginda memerhatikan wajahnya, lalu bersabda: " Apakah yang telah engkau lakukan dengan darah itu?" Dia menjawab: "Aku menyorokkannya di belakang dinding." Nabi SAW bertanya: "Di manakah engkau menyoroknya?" Dia menjawab: "Wahai Rasulullah! Aku tidak suka jika darahmu itu aku tumpahkan ke bumi. Sebenarnya darahmu itu ada di dalam perutku." Rasulullah SAW bersabda: "Pergilah. Engkau telah memelihara dirimu daripada api neraka." (Al-Qustallani, al-Mawahib al-Laduniyyah,1:284)
Berkata al-Hafiz Ibnu Hajar: "Telah meriwayatkan Abdul Razzaq daripada Ibnu Juraij, beliau berkata: Aku diberitahu bahawa Nabi pernah buang air kecil ke dalam sebuah bekas yang diperbuat daripada tembikar. Kemudian, baginda meletakkannya di bawah katilnya."
Apabila baginda hendak mengambilnya kembali, ternyata bekas itu tidak mengandungi apa-apa. Rasulullah SAW bertanya kepada seorang perempuan yang bernama Barakah, pembantu Ummu Habibah yang datang bersamanya dari Habsyah: "Di manakah air kencing di dalam bekas itu?" Dia menjawab: "Aku telah meminumnya."
Rasulullah SAW bersabda: "Semoga engkau beroleh kesihatan, wahai Ummu Yusuf!" Dia memang digelar dengan gelaran Ummu Yusuf. Selepas peristiwa itu, dia tidak pernah sakit, kecuali sakit yang mengakibatkan kematiannya. (Ibnu Hajar, al-Talkhis al Habir fi Takhrij Ahadith al-Syarh al-Kabir, (2: 32))
Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Daud dan al-Nasaei secara ringkas. Berkata al Hafiz al-Suyuti: "Ibnu Abdil Bar telah menyempurnakan penulisan hadis ini di dalam al-Isti'ab." Dalam hadis tersebut, Rasulullah SAW bertanya Barakah tentang air kencing yang terdapat di dalam bekas tersebut. Lalu Barakah berkata: "Aku telah meminumnya, wahai Rasulullah!" Seperti yang disebut oleh hadis. (Al-Suyuti, Sharh Sunan Al-Nasaei, 1:32).
Dalam Bukhari dan Muslim: Para sahabat berebut mendapatkan sisa air wudhu’ Nabi sall-Allahu álayhi wasallam untuk digunakan membasuh muka mereka.Imam al-Bukhari meriwayatkan dalam kitab sahihnya akan perlakuan para sahabat dalam bertabarruk dengan air bekas wuduk Junjungan Nabi SAW. Demikian dahsyat dan bersungguh-sungguhnya mereka bertabarruk dengannya sehingga Imam al-Bukhari meriwayatkan yang mereka seolah-olah hampir saling berbunuh-bunuhan kerana berebut-rebut mendapatkan bekas jatuhan air wuduk dan air ludah baginda SAW.
Imam Nawawi dalam Syarah Sahih Muslim berkata: “riwayat-riwayat ini merupakan bukti/hujjah untuk mencari barokah dari bekas-bekas para wali” (fihi al-tabarruk bi atsar al-salihin).
Anas berkata: “Nabi sall-Allahu álayhi wasallam tinggal bersama kami, dan begitu beliau tidur, ibuku mulai mengumpulkan air peluhnya dalam suatu botol kecil. Nabi sall-Allahu álayhi wasallam terbangun dan bertanya, “Wahai Ummu Sulaim, apa yang kau lakukan?” Dia (Ummu Sulaim) menjawab, “Ini adalah air peluhmu yang akan kami campur dalam minyak wangi kami dan itu akan menjadikannya minyak wangi terbaik.” (Hadits Riwayat Muslim, Ahmad). Perbuatan tersebut tidak dilarang sama sekali oleh Rasulullah SAW.
Ibnu al-Sakan meriwayatkan melalui Safwan ibn Hubayra dari ayah Safwan: Thabit al-Bunani berkata: Anas ibn Malik berkata kepadaku (di tempat tidurnya saat menjelang wafatnya): “Ini adalah sehelai rambut Rasulullah sall-Allahu álayhi wasallam. Aku ingin kau menempatkannya di bawah lidahku.” Thabit melanjutkan: Aku menaruhnya di bawah lidahnya, dan dia (Anas) dikubur dengan rambut itu berada di bawah lidahnya.”
Ibnu Sirin (seorang tabi’in) berkata: “Sehelai rambut Nabi sall-Allahu álayhi wasallam yang kumiliki lebih berharga daripada perak dan emas dan apa pun yang ada di atas bumi maupun di dalam bumi.” (riwayat Bukhari,Baihaqi dalam Sunan Kubra, dan Ahmad)
Dalam Sahih Bukhari, vol 7, kitab 72, no. 784, Utsman bin Abd-Allah ibn Mawhab berkata, “Orang-orangku mengirim semangkuk air ke Ummu Salamah_isteri Rasulullah).” Isra’il memberikan ukuran tiga jari yang menunjukkan kecilnya ukuran bekas yang berisi beberapa helai rambut Nabi sall-Allahu álayhi wasallam. Utsman menambahkan, “Jika seseorang terkena penyakit mata atau penyakit lainnya, dia akan mengirimkan suatu bekas berisi air ke Ummu Salamah (dan dia akan mencelupkan rambut Nabi ke dalamnya dan air tersebut akan diminum).
Aku melihat ke wadah (yang berisi rambut Nabi) dan melihat beberapa helai rambut kemerahan di dalamnya.”
Hafiz Ibnu Hajar dalam Fath al-Bari, Vol. 10, hlm, 353, mengatakan: “Mereka biasa menyebut botol perak tempat menyimpan rambut Nabi itu sebagai jiljal dan botol itu disimpan di rumah Ummu Salamah.”
Hafiz al-’Ayni berkata dalam ‘Umdat al-Qari, Vol. 18, hlm. 79: “Ummu Salamah memiliki beberapa helai rambut Nabi dalam sebuah botol perak. Jika orang jatuh sakit, mereka akan pergi dan mendapat berkat dengan rambut-rambut itu dan mereka akan sembuh dengan sarana barokah itu. Jika seseorang terkena penyakit mata atau penyakit apa saja, dia akan mengirim isterinya ke Ummu Salamah dengan sebuah bekas air, dan dia (Ummu Salamah) akan mencelupkan rambut itu ke dalam air, dan orang yang sakit itu meminum air tersebut dan dia akan sembuh, setelah itu mereka mengembalikan rambut tersebut ke dalam jiljal.”
Semoga Allah mengurniakan kecintaan yang hakiki kepada kita terhadap Rasulullah SAW dan apa sahaja yang berkaitan dengannya sepertimana kecintaan yang telah dimiliki para sahabat radhiallahu anhum ajma'in.
SILA SHARE DAN SEBARKAN