Dalam perihal fatwa, ia melihat kepada Waqi' (Keadaan Semasa) serta timbangan antara Maslahah (kepentingan) dan Mafsadah (Kemudaratan) . Maka Mufti dan Ahli Majlis Fatwa boleh mengguna pakai apa2 pendapat samada pendapat itu masih dalam mazhab Asy Syafie (Yakni Pendapat Dan Qaul yang Lemah) mahupun pendapat dari mazhab - mazhab lain yang Muktabar.
Selama ini sememangnya kita mengguna pakai bilangan 40 orang jamaah sekurang kurangnya bagi setiap solat jumaat tetapi situasi sekarang tidak membenarkan, kerana Mafsadah lebih luas dengan penyebaran penyakit di samping keperluan mendirikan syiar Solat Jumaat perlu juga di ambil kira oleh para Mufti.
Maka Kaedah penting untuk kita fahami ialah :
مَنِ ابْتُلِيَ بِـشَيءٍ مِنْ ذَلِكَ فَلْيُقَلِّدْ مـَنْ أَجَازَ
"Sesiapa yang berkesulitan atau di timpa kesusahan dari apa jua kesulitan maka ikuti lah pendapat yang mengaharuskan (dengan syarat tertentu)"
Dalam hal 12 orang jamaah ini sebenarnya kita masih menggunakan sebahagian qaul dan pendapat dalam Mazhab Syafie sendiri sekalipun qaul yang Lemah tetapi sangat Kuat dan sesuai bagi keadaan sekarang.
Lihat di dalam kitab عمدة المفتي و المستفتي (Pegangan Mufti Dan Mustafti) karangan Al Imam Jamaluddin Muhammad Bin Abdul Rahman Bin Hasan Bin Abdul Bari Al Ahdal رحمه الله تعالى.
Katanya : " Berkata Guru kami : telah sah dalil daripada hadis Nabi صلى الله عليه وسلم bahawa di haruskan mendirikan solat Jumaat dengan bilangan sekurang kurangnya 12 orang sepertimana di riwayatkan Oleh Imam Bukhari Dan Muslim, dari Saidina Jabir Bin Abdillah رضي الله عنهما berkata :
"Sedang Rasulullah صلى الله عليه وسلم pada suatu hari berkhutbah pada Hari Jumaat datang gerombolan pedagang berhampiran dengan masjid Rasulullah, lalu keluarlah beberapa jamaah kepada peniaga2 tadi hingga yang berbaki di dalam masjid mendengar Khutbah Jumaat seramai 12 orang sahaja. Lalu Allah menurunkan ayat Al Quran :
(وَإِذَا رَأَوۡا۟ تِجَـٰرَةً أَوۡ لَهۡوًا ٱنفَضُّوۤا۟ إِلَیۡهَا وَتَرَكُوكَ قَاۤىِٕمࣰاۚ قُلۡ مَا عِندَ ٱللَّهِ خَیۡرࣱ مِّنَ ٱللَّهۡوِ وَمِنَ ٱلتِّجَـٰرَةِۚ وَٱللَّهُ خَیۡرُ ٱلرَّ ٰزِقِینَ)
(Dan apabila mereka mengetahui kedatangan barang-barang dagangan (yang baharu tiba) atau (mendengar) sesuatu hiburan, mereka bersurai (lalu pergi) kepadanya dengan meninggalkan engkau berdiri (di atas mimbar - berkhutbah). Katakanlah (wahai Muhammad:" Pahala - balasan) yang ada di sisi Allah, lebih baik dari hiburan dan barang-barang dagangan itu; dan Allah sebaik-baik pemberi rezeki.)
[Surah Al-Jumu'ah 11]"
Hadis ini di jawab oleh para Ulamak Asy Syafieyah dengan jawapan, (Kemungkinan mereka yang keluar tadi kembali segera ke masjid setelah keluar sebentar, dan bila mereka kembali maka Jumaat itu bukan lah di sempurnakan hingga akhir dengan hanya 12 orang jamaah sahaja.)
Kerana jawapan balas dari sebahagian ulama Syafieyah ini mempunyai beberapa kelemahan, maka Al Imam An Nawawi رحمه الله memilih pendapatnya sendiri (قول المختار) di dalam kitabnya Al Majmuk Syarah Al Muhazzab dan Al Minhaj Syarah Sohih Muslim iaitu mengharuskan solat Jumaat di dirikan dengan bilangan 12 orang jamaah lelaki.
Berkata Al Faqeh Abul Qasim Bin At Thohir Bin Jumaan رحمه الله :
" Dengan pendapat inilah aku Fatwa kan kepada kampung-kampung yang kecil dan sedikit bilangan penduduknya kerana dalilnya sangat Kuat dan pendapat ini sesuai dengan keperluan dan maslahat umat islam agar boleh di tegakkan syiar islam"
Al Imam Muhammad Bin Abdul Aziz Al Hubaisyi berkata :
"Pendapat ini juga telah di sahkan oleh ayahku Al Imam Taqiuddin Al Hubaisyi bahkan ia lebih sesuai di tarjihkan (Di kuatkan) berbanding pendapat Al Imam Asy Syafie yang Qadim (lama) iaitu mengharuskan solat Jumaat di dirikan dengan hanya seramai 4 orang sahaja termasuk Imam dan pendapat ini (Qaul Qadim Imam Syafie) juga di pilih oleh Al Imam Ismail Al Muzani dan Al Imam Ibnu Al Munzir.
Sekalipun kami berpendapat mengharuskan solat Jumaat dengan bilangan 12 orang bermakna harus di dirikan Jumaat itu sebagai langkah 'Ihtiyat' (berjaga jaga) serta SUNAT bagi yang menghadiri Solat Jumaat tersebut (yang kurang dari 40 orang) untuk menunaikan solat zohor setelahnya ( kaedah fiqh menyebut خُرُوجٌ مِنَ الخِلَافِ مُسْتَحب keluar dari Khilaf percanggahan adalah sunat) , kerana Solat Jumaat itu suatu kewajipan yang tidak boleh sama sekali di tinggalkan.
Ya, Mereka yang memilih pendapat harus melaksanakan solat Jumaat seramai 12 orang mewajibkan solat Jumaat itu mesti di dirikan dan tidak harus sama sekali di tinggalkan Jumaat itu begitu sahaja ". انتهى
***********************************
Secara ringkasnya bilangan jamaah solat Jumaat di perselisihkan oleh para ulama, Pendapat yang mengatakan 40 orang sekurang kurangnya (Pendapat yang Rajih dan Kuat dalam Mazhab Asy Syafie),
sebahagian berpendapat 12 orang (Al Imam An Nawawi dan sebahagian Ulamak2 lain)
Ada sebahagian lagi berpendapat 4 orang sahaja sudah mencukupi termasuk Imam.
(Al Imam Asy Syafie dalam pendapat Qadimnya, Al Imam Muzani ، Ibnu Al Munzir, Al Imam Abu Hanifah, Al Imam Abu Tsur, Al Imam Al Auzaie, Al Imam Laits Bin Saad, Al Imam Azraie dalam kitabnya القوت dan Pendapat Pilihan قول المختار Al Imam Jalaluddin Abdul Rahman As Sayuthi).
Bahkan Al Imam Jalaluddin As Sayuthi menyatakan Dalam kitabnya ضوء الشمعة في عدد الجمعة bahawa wujud hingga 14 pendapat Ulama mengenai bilangan Jamaah Solat Jumaat.
Maka kita patut bersyukur setidaknya Syiar Solat Jumaat telah di kembalikan setelah 2 bulan kita berada di rumah. Bagi yang berada di rumah dan tidak termasuk yang menghadiri Solat Jumaat boleh melaksanakan Solat Zohor seperti biasa di rumah . Wallahua'lam..
Akhukum Fillah Muhammad Adlin Nasri Bin Mohammad Yusof Al Azhari
Muhammad Adlin Nasri