Jumaat, 9 pagi
oleh Ustaz Iqbal Zain
Rasulullah SAW mengungkapkan saranan menerusi hadis Baginda SAW yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah mafhumnya, “Sesungguhnya Allah menyukai apabila salah seorang daripada kamu melakukan sesuatu pekerjaan, ia melakukannya dengan itqan (baik, sempurna dan teliti)” (Riwayat al-Baihaqi)
Seorang muslim yang baik pasti menjadi pekerja yang baik sebaliknya pekerja yang baik belum pasti menjadi muslim yang baik jika pekerjaan yang dilakukan melanggar peraturan atau melepasi batas yang disyariatkan Islam.
Sebagai pekerja muslim yang baik pastinya akan melakukan kerja kerana Allah SWT dan melakukan pekerjaan itu dengan sebaik mungkin kerana mereka melihat pekerjaan itu sebagai ibadah. Sebagaimana firman Allah yang bermaksud “Tidak aku jadikan Jin dan manusia melainkan untuk menyembah aku” (Az- Zariyat:56)
Berdasarkan ayat ini kita dapati, tujuan ibadah itu merangkumi seluruh aspek kehidupan termasuk tingkah laku dalam pekerjaan sama ada perbuatan, perkataan dan gerak hati (niat) yang diredhai Allah. Oleh itu, kecemerlangan dan kejayaan dalam kerjaya dan juga kehidupan ini sangat berkait rapat dengan sejauhmana kita melakukan pekerjaan itu dengan sebaik mungkin kerana Allah SWT.
Persoalannya adakah sewaktu kita menjalankan tugas kita telah korbankan amanah, tanggungjawab, kejujuran dan amanah? Jika ini masih berlaku, kita tidak dianggap sebagai pekerja muslim yang baik.
Oleh itu, apa yang perlu dimiliki oleh setiap diri pekerja untuk menjadi seorang pekerja muslim yang baik ialah mempunyai sifat seperti ihsan dan itqan sebagai kunci dalam mencapai kejayaan dan kecemerlangan dalam kerjaya seterusnya kepada organisasi. Kedua-dua sifat ini perlu saling lengkap-melengkapi tidak kira pekerja itu bekerja di sektor awam mahupun swasta.
Sifat ihsan secara ringkasnya bermaksud kita melaksanakan sesuatu pekerjaan untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT dengan perasaan yakin seolah-olah pekerjaan kita dilihat dan dipantau oleh Allah SWT.
Berdasarkan pengertian sebenar sifat ihsan ini akan lahirlah pekerja yang bertanggungjawab beristiqamah dengan suruhan Allah SWT sama ada ketika berhadapan dengan majikan atau ketiadaan majikan, ketika berhadapan dengan pelanggan di tempat yang sunyi atau ketika melakukan kerja-kerja di dalam bilik tanpa dilihat oleh majikannya.
Dengan adanya rasa ihsan dalam diri pekerja, seseorang itu pasti akan berasa takut melakukan pekerjaan yang keji, seperti mencuri tulang, salah laku atau ponteng kerja yang kadang kala menyusahkan atau membebani rakan sejawatannya yang lain yang terpaksa memikul tugas apabila ketidakhadirannya di tempat kerja.
Apapun dalam memahami dan menghayati sifat ihsan ini akan membantu umat Islam mewujudkan pekerjaan yang berkualiti tinggi dan cemerlang. Apatah lagi jika kita membuat kerja dengan bersungguh-sungguh pasti akhirnya menghasilkan kerja yang sempurna.
Walau bagaimanapun prinsip ihsan ini tidak akan berhasil jika seseorang muslim yang kuat beragama tetapi tidak mempunyai ilmu dan kemahiran dalam bidang kerjayanya. Untuk itu, kekuatan ilmu sangat penting. Kekuatan ilmu ini penting terutama dalam melahirkan seorang pekerja muslim yang bukan sahaja dapat menguasai bidang kerjayanya bahkan dapat menjadi seorang pekerja yang kreatif dan berinovatif.
Perlu diingat bahawa ilmu dalam setiap pekerjaan adalah berbeza antara satu sama lain mengikut bidang tugas masing-masing. Sebagai contoh, seseorang kerani perlu tahu ilmu dalam bidang perkeranian misalnya menaip dengan pantas, menyediakan minit mesyuarat atau menyediakan dokumen-dokumen yang berkaitan. Bidang pekerjaan kerani ini sudah tentu berbeza berbanding bidang kedoktoran dan perguruan. Seorang doktor perlu mengetahui etika-etika perubatan manakala bagi seorang guru perlu mendalami ilmu tentang isu-isu pendidikan. Begitu juga bidang tugas yang lain. Meletakkan seseorang pekerja yang tidak layak pada tempatnya akan berlaku kepincangan dalam organisasi berkenaan.
Pun begitu, kunci kecemerlangan kerjaya bukan hanya sifat ihsan sahaja yang perlu ada, namun sifat itqan juga perlu dititikberatkan oleh pekerja muslim. Itqan membawa maksud melakukan sesuatu pekerjaan dengan teliti, cermat, kemas dan bersungguh-sungguh. Prinsip ini menuntut supaya pekerja melakukan sesuatu pekerjaan itu dengan serius dan bukan main-main sahaja. Konsep itqan dalam kerjaya ini dapat dilihat melalui kehidupan Rasulullah SAW dalam semua hal terutama dalam beribadat mahupun urusan–urusan lain.
Ketekunan dalam bekerja merupakan perkara yang dituntut manakala sifat bekerja sambil lewa adalah dilarang sama sekali oleh Islam. Inilah yang dikatan sifat itqan sebagaimana sabda Rasulullah SAW “Sesungguhnya Allah sangat suka bahkan cinta jika seseorang daripada kamu apabila melakukan kerja maka dia bekerja dengan tekun.” (Riwayat Baihaqi)
Dalam hadis ini menekankan supaya seseorang pekerja itu perlu melakukan pekerjaan dengan bersungguh-sungguh dan ketekunan yang tinggi. Tidak melakukan sambil lewa atau bertangguh-tangguh dalam menyiapkan tugasannya. Bahkan kerja yang diamanahkan itu perlu dilakukan dengan sebaik-baik mungkin bukan seperti melepas batuk di tangga.
Meskipun Islam menuntut pekerja Muslim agar tekun dalam melaksanakan sesuatu pekerjaan namun janganlah ia menjadi batu penghalang atau membuatkan mereka lalai melaksanakan ibadat-ibadat yang lain.
Timbul persoalan bagaimana untuk mewujudkan sifat ihsan dan itqan dalam diri pekerja ini? Sebagai seorang pekerja kita perlu sedar dan ingat bahawa mendapat dan menerima tawaran pekerjaan itu adalah amanah Allah SWT. Ketekunana, kesungguhan dan ketaatan dalam kerjaya ini merupakan suatu kewajipan yang tidak boleh dipandang remeh. Apatah lagi gaji yang diterima akan diberi kepada anak dan isteri.
Justeru, sebagai pekerja muslim kita perlu sentiasa menanam dalam diri dan perlu ingat bekerja untuk mendapat redha Allah SWT supaya rezeki yang kita dapat diberkati. Memakan harta wang yang haram tidak akan membawa kesenangan dan kebahagiaan dalam hidup bahkan ia akan membawa kesengsaraan dan kecelakaan di dunia dan akhirat.
Semoga dengan perkongsian ini dapatlah kita melahirkan lebih ramai pekerja muslim yang mempunyai sifat ihsan dan itqan dalam pekerjaan dengan meniatkan setiap urusan kerja sebagai ibadah. Apabila kedua-dua sifat telah tertanam dalam diri pekerja, ibaratnya kita telahpun menyemai yang terbaik di dunia maka tunggulah hasil tuainya di akhirat kelak.
Selamat Hari Pekerja